Batik Ikat Celup (Batik Pelangi)
BATIK IKAT CELUP (BATIK PELANGI)
Batik Ikat Celup atau Batik Pelangi sangat
terkenal sebelum adanya pembuatan batik yang menggunakan teknik mencanting dan
mengecop batik. Penghasilan kain berwarna-warni dengan menggunakan teknik ikat
celup lebih dikenali sebagai kain pelangi. Batik pelangi dihasilkan dengan
menggunakan kain yang berwarna putih diikat serta disembat menggunakan reka
corak yang telah dirancang dan seterusnya kain akan dicelup ke dalam bahan pewarna.
Proses
mengikat dan mewarna ini dilakukan berulang kali bagi menghasilkan reka corak
berlapis dan bertindan seolah-olah seperti pelangi. Bahagian yang diikat dan
disembat adalah kalis air dan akan menghasilkan ragam hias seperti pelangi yang
unik dan menarik. Di antara bentuk-bentuk geometrik yang terhasil seperti
bintang, bulatan serta segitiga yang diolah dengan unsur tumbuhan dan kerawang.
Batik pelangi
menggunakan teknik ikat dan celup melalui proses iaitu mengikat fabrik dengan
pelbagai cara dan kaedah dengan menggunakan bahan seperti getah gelung, tali,
dawai akar-akar kayu dan sebagainya. Kreativiti dalam penggunaan bahan-bahan
seperti kekacang, pasir, batu, kayu dan sebagainya yang diletakkan pada
bahagian dalam ikatan fabrik akan mewujudkan kesan yang unik lagi menarik
selepas celupan warna.